Wednesday, 7 December 2011

STRATEGI PENGAJARAN MATEMATIK

Salam sejahtera,
Hari ni saya hendak kongsikan beberapa contoh Big Book untuk pelajar LINUS lagi. Big Book ini dihasilkan oleh guru-guru Zon Bangsar dan Pudu.
http://cikguhaidi.files.wordpress.com/2011/12/a.jpg?w=514&h=818
http://cikguhaidi.files.wordpress.com/2011/12/b.jpg?w=508&h=300
http://cikguhaidi.files.wordpress.com/2011/12/c.jpg?w=506&h=819
Sekian,

Perancangan pengajaran dalam matematik

Setiap pendidik matematik amat memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran kepada anak didiknya. Amat jarang kedapatan di kalangan guru-guru yang dapat mengajar secara berkesan, jelas, tanpa sebarang gangguan dengan hanya berbekalkan kebolehan semula jadi (D' Augustine, 1973 ). Pengajaran matematik yang berkesan perlu memenuhi beberapa langkah penting seperti berikut :
  • Penelitian terhadap konsep-konsep asas yang terlibat dalam sesuatu topik
  • Mengenalpasti serta menyenaraikan objektif pengajaran dan pembelajaran secara eksplisit
  • Mengenalpasti kemahiran prasyarat yang diperlukan bagi sesuatu topik dan skim matematik yang sedia ada dalam minda pelajar.
  • Memilih kaedah dan alat bantu mengajar yang sesuai untuk mengembangkan sesuatu konsep
  • Mempertimbang dan menyediakan aktiviti latihan untuk menguasai sesuatu kemahiran khususnya dalam penyelesaian masalah.
  • Mempertimbangkan kaedah serta instrumen untuk menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Melatih dan meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar.
  • Menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti luar kelas.
Selepas kita mengetahui topik serta konsep-konsep yang berkaitan untuk di ajar, kita perlu menyenaraikan objektif tingkah laku yang bakal dipamirkan oleh setiap murid apabila mereka benar-benar memahami atau menguasai isi pelajaran yang telah disampaikan. Tingkah laku yang dipamirkan ini juga akan menunjukkan tahap kefahaman pelajar. Sebagai contoh, katakan kita ingin mengetahui sama ada pelajar memahami konsep segitiga. Kita boleh melibatkan beberapa objektif tingkahlaku yang boleh menjadi bukti bahawa pelajar telah memahami konsep segitiga, antaranya :
  • Melukis segitiga : Pelajar sepatutnya dapat melukis sebuah segitiga di atas se keping kertas dengan menggunakan pensel dan pembaris.
  • Memilih bentuk : Pelajar sepatutnya dapat memilih bentuk segitiga daripada set pelbagai bentuk yang dipamirkan kepada mereka.
  • Menyatakan definisi : Pelajar dapat menyatakan definisi segitiga dengan tepat sama ada secara lisan atau bertulis.
Sesuatu objektif biasanya ditentukan bagi sesuatu tempoh pengajaran, sama ada untuk satu masa atau dua masa, bergantung kepada isi pelajaran dan peruntukan masa mengajar. Pemilihan objektif tidak hanya menentukan tahap kefahaman seseorang pelajar, malah ia juga akan menentukan kaedah dan alatan yang sesuai digunakan. Sebagai contoh, katakan objektif yang dipilih berbunyi : " murid dapat menambah dua nombor satu digit dengan satu digit ". Jika tajuk berkenaan baru mula diajar, guru perlu menyediakan aktiviti untuk membimbing murid memahami konsep ' pengumpulan ' atau ' penyatuan ' antara dua set benda. Pengajaran bermula dengan aktiviti konkrit di mana para pelajar akan terlibat secara aktif, memanupulasi bahan-bahan maujud dan berakhir dengan proses pengabstrakan. Setelah murid memahami konsep penambahan, mereka seterusnya akan dibimbing untuk menguasai fakta asas tambah. Aktiviti untuk penguasaan kemahiran tidak banyak melibatkan manipulasi bahan maujud berbanding dengan aktiviti semasa penguasaan konsep.
Setelah mengenalpasti objektif pengajaran dan pembelajaran, para guru perlu menyenaraikan pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Pengajaran sebaiknya bermula dengan mengingat semula pengetahuan sedia ada membuat pengukuhan jika perlu. Kemahiran dalam matematik bersifat heirarki dan berkesinambungan (Ngean, 1984). Kegagalan menguasai konsep dan kemahiran awal, akan menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran kemahiran berikutnya.
Perancangan seterusnya ialah menentukan teknik atau kaedah yang paling sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Semua teknik atau kaedah adalah baik dan sesuai selagi mana ianya dapat membantu pelajar mencapai objektif yang digariskan ( Shaharir, 1984).

Friday, 7 October 2011

Tekun Usaha Tangga kejayaan


“Mengharapkan yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang” pengharapan yang sepatutnya sudah tidak ada dalam kamus kehidupan seorang individu muslim.Peribahasa Melayu ada mengatakan “ Kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya”,begitu juga dengan kejayaan , tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan.bak kata pepatah Arab “Mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha ibarat mengharapkan kapal belayar di daratan”. Satu perkara yang boleh dikatakan mustahil akan berlaku.
Dalam Islam , kita dapati banyak ayat Al Quran dan  hadis yang menyarankan umatnya agar sentiasa berusaha untuk mencapai  kejayaan sama ada di dunia dan juga di akhirat. Usaha dan amalanlahyang menjadi perkara yang  dinilai oleh Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya dalam surah At Taubah ayat 105 yang bermaksud :
 Dan katakanlah wahai Muhammad “ Hendaklah kamu semua berusaha (beramal ) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan .” 
Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud : Maka bertebarlah di muka bumi serta carilah rezeki daripada kurniaan Allah” Surah Al Jumuah ayat 10 .
Rasulullah s.a.w. menyatakan dalam satu hadis yang pencari kayu api lebih baik dan lebih mulia daripada peminta sedekah .Baginda juga mengatakan dalam hadis yang lain , orang yang berusaha untuk menyara diri dan keluarganya seperti orang yang berjuang di jalan Allah .
Dalam menentukan usaha yng dilakukan membuahkan kejayaan yang diharapkan , beberapa perkara perlu diperhati dan dilaksanakan .Antaranya :
A. Doa
Doa mungkin dianggap perkara yang remeh bagi sesetengah orang ,tetapi bagi orang yang mengaku dirinya Islam , doa merupakan antara medium yang paling berkesan dalam menentukan arah tuju kehidupan . Boleh dikatakan setiap detik kehidupan seharian kita , ada doa-doa yang tertentu. Sabda Rasulullah yang bermaksud “ Doa itu merupakan ibu segala ibadat” , “ Doa itu senjata orang yang beriman” , “ Qadha’yang ditentukan Allah tidak boleh diubah melainkan dengan doa”
Berdoa juga merupakan symbol keakraban hubungan seseorang hamba dengan Penciptanya dan tanda memohon pertolongan daripada yang Maha Kuasa.
B. Tidak Mudah Berputus Asa
Sekali gagal tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya, sebaliknya kita hendaklah menjadikan kegagalan itu sebagai pedoman dan iktibar untuk memperbaiki kelemahan yang ada seterusnya mencapai kejayaan yang diingini.Andaikata kita membaca riwayat hidup tokoh-tokoh terkenal dunia kita akan dapati mereka juga menghadapi kegagalan pada permulaan usaha mereka,namun dengan usaha yang tidak mengenal erti putus asa mereka akhirnya berjaya sepertimana yang berlaku kepada adik beradik Albur dan Wilbur dalam usaha mereka mencipta kapal terbang.
Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud “ Jangan kamu berputus asa dalam mencacri nikmat dan rahmat Allah kerana hanya orang kafir sahajalah yang akan berputus asa daripada rahmat Allah”
C. Istiqamah
Salah satu faktor yang juga penting untuk menjayakan sesuatau usaha ialah istiqamah . Istiqamah membawa maksud tetap dan berterusan dalam melakukan sesuatu perkara . Orang yang istiqamah akan mempunyai disiplin diri yang tinggi yang juga merupakan faktor yang penting bagi sesuatu kejayaan .Sebab itu Allah telah memerintahkan  RasulNya agar  beristiqamah dalam  menyampaikan dakwah .sebagaimana firmanNya dalam Surah As Syura ayat 15 yang bermaksud “ Maka serulah ( mereka kepada agama Allah ) dan tetaplah ( Istiqamah ) sebagaimana yang  diperintahkan kepadamu”
D. Tawakal
Tawakal didefinisikan sebagai berserah kepada Allah dalam menentukan sesuatu perkara setelah dilakukan segala usaha dan ikhtiar.Tawakal melambangkan penyerahan diri seorang hamba yang lemah kepada Penciptanya yang maha mengetahui dan Maha Berkuasa .
Sifat tawakal perlu dan penting kerana ianya akan menjadukan seseorang itu tenang dalam menghadapi dugaan dan cabaran diamping menjadikannya lebih tabah dan kental.
Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 23 yang bermaksud “ Hendakalah  kamu bertawakal kepada Allah sekiranya kamu orang yang beriman” , Dalam Ali Imran ayat 159 yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada Nya.
E. Ihsan
Ihsan sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasululah dalam Hadis Jibril iaitu beribadat kepada Allah seolah-olah kita melihatnya dan sekiranya kita tidak melihatNya , sesungguhnya Allah sentiasa melihat dan memerhatikan kita. Dalam erti kata yang lain kita melakukan usaha yang terbaik yang dapat dilakukan untuk mendapat keredaan  Allah.Malangnya kita selalu mengabaikan sikap ihsan sedangkan kita perhatikan orang bukan Islam ada mengamalkan sifat ini dalam kehidupan mereka contohnya orang Jepun yang mana mereka mengamalkan “Kaizen”satu sikap yang membawa maksud yang hamper sama dengan ihsan yang dianjurkan oleh Islam.
F. Sabar
Sabar juga aspek yang tidak kurang penting dalam membantu untuk mencapai kejayaan . Ini kerana kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi sebaliknya untuk mendapat kejayaan pelbagai halangan dan dugaan harus ditempuhi. Halangan dan dugaan ini dapat diatasi dengan adanya sifat sabar.Dalam Alquran terdapat lebih 70 tempat yang menceritakan tentang sabar , antaranya firman Allah dalam surah Al Qasas ayat 54 yang bermaksud “ Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka” . Dalam Surah AzZUmar Ayat 10 yang bermaksud “ sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan”.Firman Allah juga dalam surah Al Anfaal ayat 46 yang bermaksud “ Bersabarlah kerana Allah bersama orang yang bersabar”. Tidak syak lagi orang yang Allah berada bersama dengannya akan mendapat kejayaan.
G. Tidak bertangguh/ Menjaga masa
Melakukan usaha dengan perancangan yang rapi tanpa membazirkan masa , tenaga dan wang ringgit adalah satu jaminan untuk mengecapi sesuatu kejayaan. Pepatah juga ada mengatakan masa itu emas . Ini menunjukkan bahawa masa itu sangat berharga dan perlu dirancang untuk perkara –perkara yang terbaik
Firman Allah dalam surah al Asr ayat 1-3 yang bermaksud “ Demi masa , sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian , kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh , dan nasihat menasihati dalam perkara kebenaran dan nasihat menasihati dalam kesabaran “
H. Menjaga kesihatan
Kesihatan mental dan fizikal sangat penting kepada seseorang . Tanpa kesihatan fizikaldan mental, kejayaan tidak akan dapat dicapai .Pepatah mengatakan “ Akal yang cerdas datangnya daripada  badan yang sihat.Ibadat dalam  Islam seperti solat , puasa ,haji merupakan satu bentuk riadah untuk menyihatkan jasmani dan rohani.
Setiap kejayaan memerlukan usaha yang gigih dan tekun untuk mencapainya. Kejayaan tidaka akan menjelma dengan sendiri. Oleh itu kita perlulah melakukan usaha yang dapat melepasi halangan untuk sampai kepada kejayaan yang diinginkan.